Misi Kini Bermula

posted in: Berita, Terkini | 0

KLANG, JAN 25- Lebih kurang 50 orang Pemimpin Pengakap Klang telah menghadiri Bengkel Kelestarian Pemimpin Pengakap PPM Daerah Klang yang telah berlangsung pada khamis.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi panduan kepada pemimpin bagi mengendalikan aktiviti – aktiviti di dalam kumpulan pengakap di sekolah masing – masing. Disamping itu, memberi penekanan terhadap tanggungjawab seorang pemimpin terutama dalam menarik minat untuk mengikuti latihan kepimpinan pengakap.

” Adalah menjadi tanggungjawab hakiki seorang pengajar atau pendidik untuk membimbing ahli pengakap mengikuti latihan yang telah ditetapkan. Ini kerana gaji yang dibayar setiap bulan telah diambil kira latihan pengakap yang telah dipertanggungjawab oleh pihak sekolah terhadap dirinya”. Berikut adalah petikan yang diambil daripada ucapan perasmian bengkel ini oleh Tuan Haji Ishak Bin Mohd Jonid, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor. Kesempatan ini, Tuan Haji Ishak yang juga bekas guru dan pendidik berkongsi pengalaman beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin pengakap serta sebagai guru.

Lanjutan ucapan perasmian itu juga, Tuan Haji Ishak juga telah melontarkan saranan kepada semua pemimpin yang menghadiri bengkel ini untuk menjiwai pergerakan pengakap demi anak – anak di sekolah masing – masing.

Sebelum majlis perasmian bermula, satu istiadat pengkalungan manikayu telah dijalankan. Penerima manikayu 2 butir unit pengakap kelana adalah En Mohd Redzuan, Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Klang. Istiadat Pengkalungan Manikayu telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ishak selaku Pesuruhjaya Latihan Negara dan penzahiran telah dibacakan oleh En Mohd Haffiz Bin Hamdan Shukor, Setiausaha Latihan Negara.

Bengkel ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berbentuk sistem berpangkalan yang mana setiap guru perlu melaksanakan tugasan untuk memahami setiap perkara yang berkaitan dengan pergerakan pengakap. Antaranya pakaian seragam pengakap, struktur organisasi pengakap di Malaysia, latihan kepimpinan manikayu, pengurusan buku log, pendaftaran keahlian kumpulan pengakap, dan skim latihan pengakap bagi semua unit pengakap.

Akhir, bengkel ini satu mesyuarat pemimpin diadakan bagi membincangkan perancangan dan strategi pembangunan PPM Daerah Klang sepanjang 2018 yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Klang, Pn Hajah Sidah Binti Sedek.

Album